Tuesday, December 7, 2010

Merancang Dekorasi Pelamin di Hari Persandingan

Pelamin boleh dianggap sebagai salah satu elemen yang cukup penting ketika melangsungkan majlis perkahwinan. Konsepnya yang pelbagai dan sering berubah mengikut peredaran zaman menjadikan pelamin umpama penyeri penting buat pasangan pengantin.

Ketahui beberapa spesifikasi dalam memilih dan membentuk dekorasi pelamin mengikut keseragaman konsep persandingan yang diimpikan. Perkara penting yang perlu diberi perhatian ialah :

1. - citarasa pelamin yang diinginkan anda dan pasangan
    - bersesuaian dengan konsep dan tema majlis perkahwinan
    - pemilihan material bagaimana yang diinginkan
    - saiz pelamin mengikut kesesuaian ruang
    - keserasian pelamin bersama busana perkahwinan yang dipakai
    - bajet yang diperuntukkan bagi pelamin

2. Perbincangan bersama antara bakal pengantin dan perancang perkahwinan amat penting dalam membentuk konsep pelamin yang sesuai. Jangan takut untuk mencurahkan idea anda sendiri. Terdapat pelbagai rekaan pelamin yang boleh anda pilih misalnya, rekaan diraja, rekaan taman, rekaan klasik dan rekaan Inggeris.

3. Agar keindahan pelamin lebih menyerlah, pastikan pilihan warna yang dibuat tampak serasi dan bersesuaian. Warna memainkan peranan penting dalam menyerlahkan dekorasi pelamin anda. Jika ingin menyatukan beberapa warna, pastikan kombonasi warnanya saling bertautan antara satu sama lain.

4.  Ruang persandingan memberi impak yang cukup besar terhadap konsep, saiz dan tema pelamin anda. Justeru, sebelum memilih saiz pelamin, perhatikan keluasan ruang untuk membina pelamin. Platform atau latar pelamin perlulah saling bersesuaian bagi mengelakkan pelamin kelihatan sempit dan sarat.

5. Jika ruang bagi membina pelamin tersebut agak terhad, elakkan daripada memasukan elemen-elemen hiasan yang terlalu banyak seperti pahar yang mengandungi bunga telur dan bunga yang terlalu sarat. Ini akan menyebabkan pelamin kelihatan lebih sempit dan berserabut.

6.  Oleh sebab pelamin menjadi ruang bagi anda untuk mengabadikan detik bersejarah, pastikan cahaya yang dipancarkan ke pelamin mencukupi. Kekurangan cahaya hanya akan menyebabkan jurugambar sukar untuk mendapatkan gambar yang cantik. Jika masih kekurangan cahaya semulajadi, dapatkan bantuan daripada pereka pelamin anda untuk menambahkan lampu yang bersesuaian.

7.  Jika anda mempunyai bajet yang agak besar, pilih bunga-bunga segar sebagai hiasan utama pelamin berbanding bunga plastik. Kehadiran bunga-bunga segar ini bukan sahaja menarik di dalam gambar malahan tampak memikat di mata tetamu. Namun pastikan hiasan bunga tidak terlalu sarat atau berlebihan.




0 comments:

Post a Comment

 

LoVe...Luv....LOve....(*-*)v © 2008. Design By: SkinCorner